Sunday 24 July 2016

Perlukan Dur Tsani bahkan Tsalis, Rabi' untuk Jadi Ulama'?



Kalau ada yang bertanya, apakah pengalaman yang paling perit berada di Mesir? Saya akan jawab, bukan ditipu arab, bukan ditahan polis dan sebagainya. Tapi yang paling perit adalah, apabila saya terasa kosong.

Ada pula yang bertanya, bukankah saya ini kelihatan sibuk? 

Ya, saya memang sibuk. Tapi sibuk yang kadang-kala tika saya sedar, rupanya balang yang dibawa dari Malaysia masih kosong. Balang ilmu itu belumpun sampai sesuku sukatan.

Saya terasa kosong bila berfikir balik tentang masa yang sudah berlalu hampir 3 tahun ini, masih belum dapat mencapai tujuan kedatangan ke Mesir. Allah saja tahu, betapa hati ini menangis dan meraung bisu. Sejak pertama kali kaki saya menjejaki tanah-tanih Mesir, antara posting terawal saya dalam blog ini berkaitan rintihan saya, payahnya mencari ilmu di 'gedung ilmu' ini. 

Dan setelah 3 tahun berlalu, saya masih lagi tersesat dalam gedung ini, masih meraba-raba mungkin dalam terang tapi mata saya yang buta. Ia bagai sebuah bencana dalam diri ini.

Maafkan kalau posting kali ini, sifatnya peribadi. Ia sudah menjadi rahsia umum, masalah kekurangan ilmu dalam kalangan mahasiswa, khususnya ditempat saya. Masalah pelajar bidang Qira'at tapi tidak minat bidang tersebut, bukan lagi rahsia. Saya tidak risau ianya menjadi aib, kerana setakat ini, hanya kawan-kawan yang rapat sahaja membaca blog ini. Dan kalau ada orang luar sekalipun, apabila anda posting ini, fahami lah, bukan kah berasa tidak cukup ilmu itu satu kemuliaan bagi penuntut ilmu?


Belajar Qiraat, Tapi tidak Minat
Ini antara perkara yang saya akan sebutkan bila berbual dengan sahabat sepengajian. Kerana ia punca bagaimana masa boleh dimanfaatkan dengan baik atau tidak. Kami sedaya-upaya berbincang mencari alternatif lain, dimana boleh dimanfaatkan masa untuk menuntut ilmu. Dan ada pula yang lebih keliru daripada itu, mereka tidak tahu minat atau tidak. Justerus masa yang ada terabai begitu sahaja. 

Saya mungkin mampu memberi nasihat kepada orang lain, tapi untuk diri-sendiri, saya kelu menanganinya.

Pemergian Ulama'
Jumaat lalu, sekali lagi umat dilanda musibah yang besar. Ya, musibah apa lagi yang lebih besar menimpat umat, selain daripada menerima kematian Ulama'?

Rasulullahbersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari sekalian hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. Sehinggalah ketika tiada lagi orang alim, maka manusia masing-masing melantik orang-orang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya (dengan pelbagai persoalan), maka mereka akan memberikan fatwa tanpa bersandarkan ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain". 
(Riwayat Bukhari)

Kepada siapa lagi umat akan merujuk? Kepada siapa lagi umat akan berpegang? Bencana alam, mungkin menghancurkan harta benda, mematikan nyawa. Pemergian Ulama', boleh mematikan Iman. Ketika umat dilanda kehancuran dan malapetaka dalam prinsip ugama, Allah angkat para Ulama'..hilang lah pedoman.

Kata Hamka;
"Ilmu meninggikan darjat orang Alim, sehingga merekalah bintang di dalam masyarakat. 1000 orang bodoh mati dalam sehari, tidak ada orang tahu, tetapi kematian seorang Alim menggegarkan dunia. Kematian 100000 kuli dihimpit tanah dalam satu tempat lombong arang, akan dilapor dalam akhbar dengan huruf-huruf kecil yang tidak penting. Tetapi kematian seorang ahli ilmu akan menimbulkan ratap bertahun-tahun."




Jadilah Ulama'
Mendengar berita kematian Tuan Guru Haji Salleh, saya berasa sangat sedih. Sedih dengan pemergiannya, walaupun saya belum pernah bersua dengannya. Dan saya bertambah sedih mengenangkan nasib diri sendiri yang hanya mampu meratap kematiannya, tapi jauh sekali mampu menyambung warisan ilmu dan perjuangan almarhum! 

Allahurabbi..

Perkara terbesar yang perlu difahami oleh penuntut ilmu, khususnya bidang ugama apabila menerima berita kematian Ulama' adalah, Jadilah Ulama! 

Ia bagai menjentik kembali hati yang kealpaan, memberi semangat kepada yang lemah, inspirasi kepada yang mencari. Ia sebuah kematian yang menghidupkan. Jika Allah mencabut ilmu dengan kematian Ulama', maka Allah memberi ilmu dengan kelahiran Ulama'.

Saya masih ingat sewaktu di Maahad Muhammadi (L) dulu, tika kami berprogram. Ada satu slot fasilitator bertanya, tentang cita-cita kami, mungkin ingin menguji tahap kefahaman setelah beberapa hari berprogram.

Maka kalangan kami ada yang menjawab, cita-cita ingin menjadi Saintis Islam, Enginer Islam dan lain-lain.

Tiba-tiba fasi menggertak kami. "Tiadakah dalam kalangan kamu ada yang ingin jadi Ulama'"?

Barulah kami tersedar, sangka kami dengan  menempelkan Islamis pada satu-satu pekerjaan sudah mencukupi. Bahkan tanggungjawab Ulama' itu jauh lebih penting dan besar daripada itu!

Ya Allah, kuatkan kami. Baki masa yang ada ini, moga kami tidak terlalai oleh dunia, berikan kami wasilah-wasilah Mu, sebagai penguat kepada diri kami mencapai cita-cita kami. Amin.

Terimalah amal kami.

Wallahua'lam.









No comments: